KONSEP PEMBELAJARAN

|

Konsep Pembelajaran Berasaskan Projek

Pembelajaran berasaskan projek atau project based learning (PBL) merupakan salah satu aktiviti pembelajaran yang mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berpusatkan murid (student centered learning). Strategi berasaskan tugasan atau projek ini merujuk kepada prinsip murid meneroka sesuatu tajuk atau permasalahan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan secara bermakna.

Dalam kaedah ini, murid-murid diberi peluang sepenuhnya dalam membina pengetahuan mereka sendiri berasaskan tajuk yang diberikan dengan mendapatkan input-input melalui bacaan luas daripada teknologi maklumat dan sebagainya dalam menghasilkan produk yang realistik. Secara tidak langsung murid-murid akan diberi ruang dan peluang mengembangkan kecekapan dalam menguasai teknologi maklumat dan komunikasi semasa menerokai alam siber untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki.

Pembelajaran berasaskan projek berkehendakkan murid-murid berbincang dalam kumpulan untuk menyiapkan tugasan dan projek atau menyelesaikan masalah yang diberikan secara bersama serta menggunakan pengetahuan dan peralatan tertentu dalam menghasilkan sesuatu produk, memperoleh penyelesaian atau membuat sesuatu laporan. Dalam menggunakan pengetahuan dan peralatan tertentu ini, murid-murid akan membina suatu pengetahuan dan kemahiran baharu.

Sehubungan dengan itu, pembelajaran melalui kaedah ini bukan hanya berfokus kepada penghasilan produk tugasan, penyelesaian masalah atau laporan berteraskan projek yang dijalankan tetapi memberi tumpuan kepada pengetahuan dan kemahiran baharu yang dibina dan digunakan dalam menghasilkan tugasan projek. Hal ini demikian kerana melalui kaedah pembelajaran ini, murid-murid berpeluang merancang, mereka bentuk dan melaksanakan projek yang diberi serta membuat refleksi berkenaan proses yang dilakukan dan produk yang terhasil.

Pembelajaran berasaskan projek, mengemukakan projek. masalah atau tugas yang autentik serta memberikan peluang mewujudkan simulasi yang lebih realistik untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu, kaedah pembelajaran ini amat bersesuaian dalam menyediakan murid-murid menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka terutama dalam bidang kerjaya.

1 comments:

Unknown said...

Terima Kasih atas maklumat. Boleh pinjam untuk jadikan rujukan saya.